PdP norma baharu, konsep pembelajaran mesti relevan - PM

                                                                    Imej hiasan via Utusan

Konsep pembelajaran tidak harus terperangkap dalam lingkungan 'four walls of room', 
sebaliknya mestilah relevan pada setiap masa dan setiap tempat sesuai dengan 
suasana norma baharu, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan perlu terus mendengar cadangan dan 
input warga pendidik, ibu bapa dan anak-anak demi menambah baik pengajaran dan
 pembelajaran (PdP) bagi memastikan murid tidak ketinggalan dalam proses 
pembelajaran, katanya.

Perdana Menteri berkata sejak pandemik COVID-19 menular ke negara ini setahun 
yang lalu, proses PdP banyak bergantung pada pembelajaran secara dalam talian 
dan menyaksikan guru mula menguasai pelbagai aplikasi digital pendidikan yang 
membolehkan murid-murid mengikuti kaedah pembelajaran normal baharu.

"Perubahan yang berlaku jelas membuktikan konsep pembelajaran tidak harus 
terperangkap di antara 'four walls of room'… dalam suasana norma baharu,
 penyampaian perkhidmatan secara maya sudah mula meluas.

"Walaupun guru berhadapan dengan cabaran melaksanakan PdP secara dalam talian,
 terutama apabila PdPR (Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah) dilaksanakan,
 saya melihat ramai dalam kalangan guru yang berjaya menghasilkan pelbagai
 bentuk bahan PdP bagi memastikan murid tidak ketinggalan dalam proses 
pembelajaran. Saya ucapkan syabas atas ikhtiar dan inovasi saudara dan saudari 
sekalian," katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan bersempena Hari Guru ke-50 bertemakan 
'Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu' yang disiarkan menerusi Facebook Live 
Kementerian Pendidikan (KPM), saluran TV1 RTM, DidikTV KPM dan stesen 
penyiaran lain hari ini.

Muhyiddin berkata arus globalisasi telah membentuk hala tuju baharu dalam 
pendidikan dan dalam aspek itu warga pendidik berperanan penting dalam 
mengadaptasi kandungan pedagogi berteras teknologi dalam PdP.

Menurutnya pelaksanaan pendidikan digital sebagai elemen dalam pembelajaran 
abad ke-21 adalah sejajar dengan anjakan ketujuh Pelan Pembangunan Pendidikan 
Malaysia (PPPM) 2013-2025 dalam melaksanakan e-pembelajaran iaitu pengajaran 
berteraskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

"Untuk itu, guru hendaklah menyediakan mindset bahawa alam sejagat ini merupakan 
kelas pembelajaran sepanjang hayat bagi anak-anak kita. Ini menuntut guru untuk 
berusaha melahirkan murid yang beradab, cemerlang dan mempunyai sifat ingin tahu.

"Anak-anak yang ingin kita lahirkan haruslah mampu berdepan bukan sahaja dengan
 keperluan pasaran kerja semasa, tetapi bersedia menjadi anggota masyarakat yang 
berakhlak mulia dan bertamadun serta mampu berdaya saing pada peringkat global,"
 katanya.

Dalam mencapai hasrat itu, Perdana Menteri berkata kerajaan juga akan memastikan
 tiada murid yang dinafikan daripada mendapat pendidikan sewajarnya, termasuklah
 murid Orang Asli dan pribumi, Murid Berkeperluan Khas (MBK) dan kanak-kanak 
tanpa dokumen.

Beliau berkata kerajaan akan memberi tumpuan untuk mengurangkan kadar 
keciciran murid sekali gus memastikan golongan itu turut menerima pendidikan 
seperti murid yang lain.

Dalam perutusan itu, Muhyiddin turut mengumumkan penerima anugerah 
Tokoh Guru Kebangsaan Noorizan Mohamed dan dua penerima anugerah 
Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan Tahun 2021 iaitu Datuk Dr Amin Senin
 dan Datuk Dr Habibah Abdul Rahim.

"Semoga anugerah ini menjadi penyuntik semangat kepada semua warga pendidik 
untuk terus berusaha dan memberikan sumbangan yang terbaik dalam melonjakkan
 pendidikan negara dan memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang jauh lebih baik," katanya.
- Bernama

Catat Ulasan

0 Ulasan